Ramai orang takut apabila memperkatakan mengenai kolesterol dan mula mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan paras kolesterol dalam badan. Namun begitu, tahukah anda perasaan takut mengenai kolesterol akan terus menghantui hidup anda seandainya anda masih tidak mampu mengamalkan cara hidup sihat?
![]() |
Salur darah tersumbat berpunca dari kolesterol mampu membawa kepada penyakit jantung! |
Tetapi jangan bimbang kerana kata kuncinya mudah saja, anda hanya perlu mengamalkan diet atau pemakanan seimbang serta menjalani kehidupan aktif untuk mengawal paras kolesterol sekali gus mengawal berat badan.
Nampak senang bukan? Namun sebenarnya dua perkara ini acapkali sukar dilakukan kerana kebanyakan kita sering terpengaruh dengan dorongan nafsu yang tinggi. Apatah lagi, Malaysia mempunyai kepelbagaian makanan termasuk jenis bergoreng dan bersantan, termasuk hidangan pencuci mulut seperti kek, coklat dan ais krim. Faktor kerap mengamalkan makanan tinggi lemak antaranya organ dalaman, daging merah, makanan laut dan telur kuning juga mampu menjadi faktor penyumbang terbesar kepada peningkatan paras kolesterol dalam darah.
Namun bijakkah anda sekiranya menyalahkan faktor pemakanan apabila rawatan menunjukkan paras kolesterol anda melebihi daripada aras sepatutnya? Bukankah anda boleh memilih untuk menentukan tahap kesihatan sendiri dan bukannya orang lain?
Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pusrawi, Nurul Farhanah Md Fozi, anda adalah apa yang anda makan dan tiada jalan pintas untuk mendapat kesihatan sempurna melainkan menerusi pemakanan seimbang dan menjalani kehidupan aktif.
Kata-kata ini memang ada benarnya kerana punca utama sesuatu penyakit itu biasanya daripada pemakanan dan masalah pemakanan ini boleh dikawal menerusi pendedahan kesihatan serta disiplin diri yang tinggi. Oleh itu, pengawalan pemakanan individu perlu selari dengan prinsip makanan seimbang dan sihat mengikut piramid makanan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ramai sering beranggapan kolesterol hanya bersifat 'jahat' kerana membawa kemusnahan pada tubuh walhal pada dasarnya, kolesterol adalah sejenis bahan molekul lekit, seakan-akan lemak yang terdapat secara semula jadi dalam aliran darah serta sel tubuh badan. Kolesterol ini juga penting kerana menjadi sumber penghasilan sel tisu membran, hempedu, sesetengah hormon dan vitamin D dalam tubuh badan.
Namun awas, aras kolesterol berlebihan juga boleh mendatangkan mudarat kerana berkemungkinan besar akan menyumbatkan dinding salur darah arteri lalu menyebabkan pengaliran darah menjadi perlahan dan terganggu. Keadaan sebegini amat merbahaya kerana boleh mengakibatkan berlakunya serangan jantung koronari.
![]() |
Kolesterol 'jahat' inilah yang sebenarnya melekat pada salur darah kita! |
Menurutnya, molekul kolesterol darah ini berasal daripada dua sumber iaitu sintesis tubuh badan (melalui hati dan usus) dan juga diet harian seseorang. Kolesterol terbahagi kepada dua jenis iaitu kolesterol 'baik' dan 'jahat'. Kolesterol jenis lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) adalah sejenis 'kolesterol baik' yang akan membawa kolesterol dari seluruh saluran darah ke organ hati kemudian hati akan memproses kolesterol untuk dikeluarkan dari tubuh.
Lebih tinggi paras HDL, kolesterol yang tersimpan di dalam salur darah arteri akan berkurang dan ini akan melindungi fungsi dan tahap kesihatan jantung. Sebaliknya, 'kolesterol jahat' atau liporotein berketumpatan rendah (LDL) pula akan membawa kolesterol dari hati ke saluran darah di seluruh tubuh. Jadi, apabila semakin tinggi paras LDL di dalam badan, ini akan menyebabkan banyak kolesterol tersimpan di dalam salur darah.
Ini memungkinkan pengumpulan dan penyumbatan kelompok kolesterol di dalam salur arteri seterusnya menghalang darah daripada mengalir lancar ke jantung. Hal ini meningkatkan risiko serangan jantung, strok dan kematian mengejut.
![]() |
Jom sihat! Tanya saya bagaimana. :D |
No comments:
Post a Comment